Syarat Wajib dan Sah Puasa




-->Syarat-syarat wajib Puasa ialah:
  1. Beragama Islam
  2. Baligh
  3. Berakal
  4. Bebas dari uzur Syarie
Beragama Islam

Orang Islam wajib berpuasa. Bagi orang kafir tidak wajib berpuasa. Namun apabila seseorang orang kafir masuk Islam, maka ia tidak wajib mengqadha puasa selama ia masih kafir. Sebagaimana sabda Rasulullah:

“ Islam itu memutus dosa-dosa yang telah lalu”

Berbeza dengan halnya dengan orang murtad, mereka tetap terkena wajib puasa. Hal ini kerana bila mereka kembali ke pangkuan Islam, maka wajib mengqadha puasa yang di tinggalkan semasa murtad.

Baligh dan berakal

Bagi kanak-kanak yang kecil harus di biasakan dan diperintahkan berpuasa sejak usia 7 tahun bila di perkirakan ia sudah sanggup berpuasa. Bila pada usia 10 tahun ia tidak mahu berpuasa, maka ia boleh dipukul sebagaimana halnya dengan solat. Yang berhak memerintah dan memukul ialah walinya.

Bebas dari uzur Syarie

Terdapat uzur syar’ie yang mencegah daripada berpuasa, dan ada pula uzur yang mengharuskan untuk berbuka puasa. Antara uzur syar’ie yang mencegah daripada berpuasa ialah:

  1. Keluar darah haid
  2. Keluar darah nifas
  3. Pitam atau pengsan sepanjang hari


Manakala uzur syar’ie yang mengharuskan berbuka puasa ialah:
  1. Sakit yang boleh memudaratkan jika di teruskan berpuasa
  2. Bermusafir melebihi dua marhalah
  3. Tidak mampu berpuasa di sebabkan sakit.

Syarat Sah Puasa

1. Islam: tidak sah puasa orang kafir atau orang yang murtad dari agama.

2. Berakal: tidak sah puasa orang gila dan juga kanak-kanak yang belum mumayyiz kerana puasa memerlukan niat dan niat ini hanya boleh dilakukan oleh orang-orang yang berakal sahaja.

3. Mumayyiz: Kanak-kanak apabila telah mumayyiz, sah lah puasanya tetapi belum wajib. Apabila sampai umurnya tujuh tahun, ibu-bapa atau penjaganya hendaklah melatihnya berpuasa, jika tiada sebarang halangan- sebagaimana yang disarankan oleh Rasulullah s.a.w. dalam hadis baginda mengenai solat. Apabila ia mencecah usia baligh, wajib lah atasnya berpuasa.

4. Niat pada waktu malam puasa fardhu: Dalam puasa wajib, niat harus di tetapkan sebelum fajar dan menyebutkan jenis puasanya.Niat ini biasanya terlaksana dengan makan sahur untuk berpuasa , maka hal itu sudah dianggap sah. Dalil untuk masalah ini adalah hadith yang di riwayatkan oleh penyusun Kitab-Kitab Sunan di mana Nabi s.a.w bersabda:
“ Barangsiapa tidak menetapkan puasa sebelum fajar, maka tidak ada puasa baginya.”

5. Suci dari haid dan nifas: tidak sah puasa orang yang kedatangan haid dan nifas, malah diharamkan mereka berdua berpuasa.

6. Menahan dari perkara yang membatalkan puasa:Menahan diri di sini bermaksud menahan diri dari segala hal yang membatalkan puasa dari terbitnya fajar shadiq hingga terbenam matahari.Contohnya menahan diri daripada makan dan minum.

7. Puasa dilakukan pada hari-hari yang diharuskan berpuasa: hari-hari sepanjang tahun merupakan waktu yang harus berpuasa kecuali dua hari raya, hari-hari tasyrik dan hari syak.

Orang-orang yang tidak memiliki syarat-syarat di atas atau salah satu darinya, tidak sah puasanya.

Sumber Rujukan:
1. Pendidikan Islam, Sasbadi
2. Puasa dan Aspek-aspek Kehidupan Manusia
oleh Lailukhidir
3. http://fiqh-am.blogspot.com

No comments for "Syarat Wajib dan Sah Puasa"