Persoalan Puasa



Jika semua perkara di atas dilakukan secara tidak sengaja tidaklah akan membatalkan puasa. Sabda Nabi s.a.w.; “Sesiapa yang terlupa tatkala ia berpuasa lalu ia makan atau minum maka hendaklah ia sempurnakan puasanya. Sesungguhnya Allahlah yang memberinya makan dan memberinya minum” (HR Imam Bukhari, Muslim dan lain-lain dari Abu Hurairah r.a.)

Baginda juga bersabda; “Sesiapa yang terpaksa muntah, maka (tidaklah batal puasanya dan) ia tidak wajib mengqadha’ dan sesiapa yang sengaja muntah, maka (batallah puasanya dan) ia wajib mengqadhanya” (Riwayat Imam Abu Daud, Tirmizi, an-Nasai dan lain-lain dari Abu Hurairah r.a.)



Menurut Imam Abu Hanifah dan Malik; batal puasa. Bagi mazhab Syafi’ie, ada dua qaul. Menurut Imam an-Nawawi; yang rajih ialah tidak batal puasa. Adapun mengikut Imam ar-Rafi’ie; yang rajih ialah batal puasa. Khilaf yang sama juga bagi seorang yang dipaksa bersetubuh seperti wanita yang dipaksa oleh suaminya. Menurut Imam Ahmad; jika yang dipaksa ialah makan, maka tidak batal puasa. Tetapi jika yang dipaksa itu ialah jimak, maka batallah puasa.


Bagaimana jika seseorang itu tersilap menyangka fajar belum terbit lalu ia masih bersahur atau menyangka matahari telah terbenam lalu ia pun berbuka?

Seorang yang menyangka fajar belum lagi terbit (yakni belum masuk waktu subuh), lalu ia meneruskan makan, minum, bersetubuh dengan isteri dan sebagainya (dari perkara-perkara yang membatalkan puasa di atas), tiba-tiba setelah beberapa minit kemudian ternyata padanya bahawa sangkaannya itu silap dan fajar sebenarnya telah pun terbit (yakni subuh telah masuk), batallah puasanya pada hari itu mengikut jumhur ulamak termasuk Imam-Imam mazhab empat. Wajib ke atasnya mengqadha puasa tersebut pada hari lain selepas Ramadhan. Walaupun begitu, untuk hari tersebut ia tetap wajib menahan dirinya dari makan, minum dan sebagainya sebagai menghormati bulan Ramadhan.

Begitu juga, jika orang yang menyangka matahari telahpun terbenam, lalu ia berbuka puasa dan kemudian ternyata bahawa sangkannya itu silap –yakni matahari belum lagi terbenam-, batallah puasanya. Wajib ke atasnya mengganti atau mengqadhakannya.

Imam Ishaq bin Rahawaih, ulamak-ulamak mazhab az-Zahiri, al-Hasan dan Mujahid menyanggahi pandangan jumhur di atas di mana menurut mereka; tidak batal puasa dan tidak perlu diqadha. Mereka meletakkan hukum bagi masalah ini sama seperti hukum orang yang makan kerana terlupa.

Apa yang perlu dilakukan oleh seorang yang sedang menikmati makan atau sedang bersetubuh lalu ia terdengar azan yang menandakan fajar subuh telah terbit?


Hendaklah ia segera meluahkan makanan yang ada di dalam mulutnya sebelum masuk ke kerongkongnya.[1] Jika tidak diluahnya sebaliknya terus ditelannya makanan itu, maka batallah puasanya. Begitu juga, jika ketika fajar sedang terbit ia masih dalam keadaan bersetubuh dengan isterinya, maka wajib ia mencabut zakarnya dengan segera. Dengan mencabutnya itu tidaklah batal puasanya sekalipun sesudah itu keluar mani. Namun jika ia tidak mencabutnya –yakni tidak menghentikan persetubuhannya dengan segera-, maka batallah puasanya. Bukan sekadar itu, wajib pula atasnya membayar kaffarah (iaitu berpuasa dua bulan berturut-turut) mengikut jumhur ulamak (Imam Malik, Syafi’ie dan Ahmad) kerana batal puasa itu berlaku dengan persetubuhan yang disengajakan. Mengikut mazhab Hanafi; ia wajib mengqadha puasa sahaja dan tidak wajib kaffarah.


Adakah batal puasa orang yang bersetubuh di malam hari, tetapi ia mandi junub selepas terbit fajar (yakni setelah masuk waktu subuh)?


Tidak membatalkan puasa kerana yang membatalkan puasa ialah jika berlaku persetubuhan itu selepas terbit fajar. Adapun mandi janabah selepas terbit fajar, maka tidak memberi kesan apa-apa pada puasa. Saidatinia ‘Aisyah r.a. dan Ummu Salamah r.a. pernah menceritakan bahawa; “Nabi s.a.w. pernah bangun pagi dalam bulan Ramadhan dalam keadaan berjunub kerana bersetubuh dengan isterinya. Baginda mandi dan kemudiannya berpuasa tanpa mengqadhanya”. (Riwayat Imam Bukhari dan Muslim)


Jadi bagi orang yang bersetubuh dengan isterinya, harus melewatkan mandi junub sehingga selepas terbit fajar (masuk waktu subuh). Begitu juga, bagi wanita yang terputus haidnya pada sebelah malamnya, tidak batal puasanya jika ia menangguh mandinya hingga selepas terbit fajar. Namun demikian, menyegerakan mandi dalam semua keadaan ini adalah disunatkan.


Adakah mencium isteri di siang hari bulan Ramadhan membatalkan puasa?


Tidak membatalkan puasa. Rasulullah s.a.w. pernah mencium isterinya pada siang hari di bulan Ramadhan. Saidatina A’isyah menceritakan; “Rasulullah s.a.w. menciumku sedang ia berpuasa. Siapa di antara kamu yang berupaya mengawal keinginan dirinya sebagaimana Rasulullah berupaya mengawalnya?”.
(Riwayat Imam Muslim)

Namun kata ulamak; keharusan itu khusus bagi orang yang mampu menahan syahwatnya. Adapun orang yang tidak mampu, haram ia mencium atau mengucup isterinya di siang hari di bulan Ramadhan kerana dibimbangi akan membawa kepada persetubuhan atau terkeluar mani yang akan membatalkan puasanya.


Nota kaki;



[1] Ini adalah pandangan jumhur ulamak. Ada ulamak berpandangan ia boleh terus makan jika makanan telah ada di tangannya. Ini berdasarkan hadis Nabi s.a.w.; “Jika salah seorang dari kamu mendengar bunyi azan (subuh) sedang bekas air telah berada di tangannya, janganlah ia letak bekas hingga ia selesaikan keperluannya dari bekas itu (yakni hingga ia minum dari bekas itu)” (HR Abu Daud dari Abu Hurairah r.a.). (Lihat; al-Wajiz Fi Fiqh as-Sunnah Wa al-Kitab al-‘Aziz, hlm. 202).




Harus tetapi jangan berlebihan kerana dibimbangi akan tertelan air. Sabda Nabi s.a.w.; “Lebihkanlah memasukkan air ke dalam hidung kecuali jika engkau berpuasa” (HR Imam Abu Daud dan Tirmizi dari Laqith ibn Shabirah r.a.).




Jika tertelan air kerana berlebih-lebihan berkumur atau membasuh hidung itu, batallah puasa. Jika seseorang itu berkumur secara sederhana sahaja –tanpa berlebihan- lalu ia tertelan air tanpa disengajaka, tidaklah batal puasanya.[2]




Apa hukum mandi dengan niat menyejukkan bahadan ketika sedang berpuasa?




Harus kerana diceritakan oleh seorang sahabat Nabi s.a.w.; “Kami telah melihat Rasulullah s.a.w. ketika berada di satu kampong Arab bernama al-‘Araj, baginda mencurah air ke atas kepalanya ketika baginda sedang berpuasa untuk meredakan dari lapar atau dari kepanasan” (HR Imam Abu Daud dan al-Hakim).




Adakah harus memberus gigi ketika sedang berpuasa?




Harus kerana Nabi s.a.w. menggalakkannya pada setiap kali hendak mengambil wudhuk tanpa mengecualikannya pada bulan Ramadhan. Sabda baginda; “Seandainya aku tidak memberatkan umatku, nescaya aku perintahkan mereka bersiwak pada setiap kali wudhuk” (HR Imam Malik, Ahmad, Nasai dari Abu Hurairah r.a.)




Namun hendaklah berhati-hati agar jangan tertelan ubat gigi atau sisa-sisa makanan di celah gigi tidak termasuk ke dalam kerongkong kerana ia akan membatalkan puasa.




Adakah harus bercelak ketika sedang berpuasa?




Harus kerana ‘Aisyah r.a. pernah menceritakan; “Rasulullah s.a.w. memakai celak dalam bulan Ramadhan ketika baginda sedang berpuasa” (HR Imam Ibnu Majah).




Begitu juga menurut ulama’; tidak membatalkan puasa menitikkan ubat ke dalam mata kerana mata bukanlah saluran yang terbuka (yang sampai ke rongga dalam badan yakni perut atau kepala).




Nota kaki;


[2] Begitu juga dengan wanita yang mengunyah makanan untuk anaknya lalu tertelan atau orang yang merasa makanan lalu tertelan; menurut mazhab Syafi’ie tidak membatalkan puasa kerana tidak disengajakan. Namun menurut mazhab Maliki dan Hanafi; batal puasa. (Fiqh al-‘Ibadat, Hasan Ayyub, hlm. 440).

Apa hukum mengunyah-ngunyah sesuatu ketika sedang berpuasa tanpa menelannya?



Hukumnya makruh. Namun jika benda yang dikunyahnya itu mencair atau tertanggal bahannya ke dalam air liur, lalu ditelan bersama air liur atau tertelan, batallah puasa.




Begitu juga, makruh mengunyah-ngunyah makanan kecuali jika tidak dapat dielakkan seperti untuk memberi makan anak yang masih bayi atau sebagainya, maka tidaklah makruh hukumnya. Tetapi hendaklah dipastikan makanan yang dikunyah itu tidak masuk bersama air liur ke dalam kerongkong kerana jika berlaku maka batallah puasa.




Apa hukum merasa makanan ketika sedang berpuasa?




Merasa makanan tidaklah membatalkan puasa tetapi hukumnya makruh kecuali jika ada keperluan seperti tukang masak, membeli makanan untuk berbuka atau sebagainya. Namun setelah dirasa hendaklah diluahkan kerana jika tertelan masuk ke dalam kerongkong bersama air liur atau sebagainya akan batallah puasa.




Apa hukum membuang darah dari badan ketika sedang berpuasa seperti berbekam dan sebagainya?




Tidak membatalkan puasa. Ibnu Abbas r.a. ada menceritakan bahawa; “Nabi s.a.w. pernah berbekam ketika beliau dalam keadaan ihram haji dan pernah berbekam semasa beliau berpuasa” (HR Imam Bukhari).




Namun hukumnya makruh jika dibimbangi akan melemahkan badan. Tsabit al-Bannani menceritakan; Anas bin Malik r.a. pernah ditanya; “Adakah kamu sekelian (yakni para sahabat Nabi s.a.w.) memakruhkan bekam ke atas orang berpuasa?”. Jawab beliau; “Tidak, kecuali jika boleh melemahkannya”.








Menelan air liur sendiri yang masih di dalam mulut sekalipun banyak tidaklah membatalkan puasa. Adapun menelan air liur orang lain maka batallah puasa.




Namun jika air liur itu bercampur dengan benda yang lain, maka jika ditelah akan batallah puasa. Ini seperti seorang memilin benang yang berwarna dengan mulutnya, lalu bercampur air liurnya dengan pewarna benang itu kemudian ditelannya, maka batallah puasanya. Begitu juga batal puasa menelan air liur yang terkena najis -sebelum membasuhnya- seperti air liur yang bercampur dengan darah dari gusi. Namun kalau gusi selalu berdarah atau kebiasaannya mengeluarkan darah dan sukar memelihara darahnya maka darah yang seperti itu dimaafkan dan memadai dengan meludahnya sebagai ganti membasuhnya dan tidak diberatkan membasuhnya pada setiap waktu dan dimaafkan juga darah yang bercampur dengan air liur.




Begitu juga, batal puasa jika menelan air liur yang telahpun dikeluarkan dari mulut sekalipun masih melekat pada bibir.




Adakah menelan gelema atau dahak membatalkan puasa?




Bagi masalah ini ulamak-ulamak berbeza pandangan; ada yang berkata ia membatalkan puasa dan ada yang berkata ia tidak membatalkan puasa.




Adapun menurut mazhab Syafi’ie; gelema/dahak yang dikeluarkan dari dalam tekak, jika diludahkan keluar tidaklah membatalkan puasa. Namun jika gelema/dahak itu ditelan kembali selepas berada dalam mulutnya, maka batallah puasa. Adapun menyedut gelema dari kepala, jika terus masuk ke dalam kerongkong tanpa melalui perantaraan mulut, tidaklah membatalkan puasa. Namun jika disedut masuk ke mulut, kemudian ditelan maka batallah puasa. Jika diluahkan, maka tidak batallah puasa.

Bagaimana dengan sisa-sisa makanan di gigi?



Hendaklah dilihat pada dua keadaan;




1. Jika sisa-sisa makanan itu amat sedikit, sukar untuk dipisahkan dari air liur dan diludahkan, maka tidaklah membatalkan puasa jika tertelannya. Hukumnya sama seperti menelan air liur sendiri yang sukar untuk dielakkan.




2. Adapun jika sisa-sisa makanan itu banyak, boleh dipisahkan dari air liur dan diludahkan, maka jika diluahkan tidaklah membatalkan puasa. Jika ditelan, batallah puasa mengikut jumhur ulamak. Menurut Mazhab Hanafi; batal puasa jika kadarnya melebihi sebiji kacang. Jika kurang darinya, menelannya tidaklah membatalkan puasa, namun makruh.




Adakah melakukan suntikan melalui urat, menyuntik ke bawah kulit atau ke dalam daging badan akan membatalkan puasa?




Tidak membatalkan puasa sama ada suntikan itu untuk tujuan pengubatan, taghziyah (iaitu memberi makanan seperti menyuntik vitamin, memasukkan air, kalsium dan sebagainya) atau membius. Ini adalah pandangan yang disepakati oleh imam-imam mazhab empat.[3]




Namun ada setengah ulama’ semasa hari ini mengecualikannya dari suntikan makanan iaitu jika yang disuntik itu adalah bahan makanan seperti glukos atau sebagainya, maka batallah puasa kerana ia mengambil kedudukan seperti makan atau minum.




Adakah debu-debu di jalan boleh membatalkan puasa?




Jika debu jalan atau debu tepung –ketika sedang mengayaknya- masuk ke dalam ke dalam kerongkong tanpa disengajakan tidaklah membatalkan puasa kerana hal ini sukar dielakkan. Namun jika sengaja membuka mulut lalu masuk debu tersebut maka batallah puasa.








Tidak membatalkan puasa.




Adakah harus membatalkan puasa dengan sengaja?




Diharamkan ke atas orang yang berpuasa fardhu (sama ada puasa qadha’ Ramadhan, puasa nazar atau puasa kifarat) memutuskan puasanya -dengan berniat membatalkan puasa atau dengan berbuka- secara sengaja tanpa ada sebarang keuzuran. Adapun jika ia berpuasa sunat, maka harus baginya untuk memutuskan puasa sunatnya itu pada bila-bila masa dan tidak diwajibkan ia mengqadhakannya. Namun memutuskan puasa dengan sengaja ini adalah makruh hukumnya. Sabda Rasulullah s.a.w.;




اَلصَّائِمُ الْمُتَطَوِّعُ أَمِيْرُ نَفْسِهِ: إِنْ شَاْءَ صَاْمَ وَإِنْ شَاءَ أَفْطَرَ

“Orang yang berpuasa sunat adalah pemimpin dirinya. Kalau dia mahu ia boleh meneruskan puasanya dan jika ia mahu ia boleh berbuka”.

(Riwayat Imam Ahmad, Tirmizi dan Hakim dari Ummu Hani r.a.)



Apakah hukum mencela orang lain, berdusta dan mengumpat ketika sedang berpuasa?




Amat dimakruhkan, akan tetapi tidaklah akan membatalkan puasa. Hukum ini disepakati oleh ulamak kecuali Imam al-Auza’ie di mana ia berpandangan; batal puasa orang yang mengumpat, berdusta dan mencela orang semasa sedang berpuasa.




Maksud makruh di atas ialah akan mengurangkan pahala puasa dan mungkin menghapuskannya. Banyak orang berpuasa dan puasanya sah tetapi tidak berpahala.





Menurut jumhur ulamak; melakukan maksiat hanya akan mengurangkan pahala puasa. Ia tidak lah akan membatalkan puasa selama orang yang melakukan maksiat itu tidak melakukan sebarang perkara yang membatalkan puasa sebagaimana disebut tadi.[4]




Imam Ibnu Hazm menyanggahi pandangan jumhur di atas di mana beliau berpendapat maksiat akan membatalkan puasa. Bagi beliau, jika seseorang itu berdusta, mengumpat, mengadu domba, meninggalkan solat, melakukan aniaya atau kezaliman dan sebagainya lagi dari perbuatan-perbuatan yang diharamkan, batallah puasanya. Beliau berdalilkan makna zahir dari beberapa hadis Nabi s.a.w. yang melarang melakukan melakukan dosa semasa sedang berpuasa, antaranya; “Sesiapa yang tidak meninggalkan kata-kata dusta dan melakukan pendustaan, maka bagi Allah tidak ada keperluan dalam ia meninggalkan makan dan minumnya (yakni Allah tidak berhajat kepada puasanya)” (Riwayat Imam Bukhari, Abu Daud, at-Tirmizi dan lain-lain dari Abu Hurairah r.a.).[5] Beliau menolak pandangan jumhur di atas yang berkata maksiat hanya menghilangkan pahala puasa bukan membatalkannya dengan menganggapnya sebagai pandangan yang lemah.[6]




Nota kaki;


[3] Berdasarkan fatwa Mufti Mesir yang lalu iaitu Syeikh Muhammad Bakhit al-Muti’ie. (Lihat; Fiqh al-‘Ibadat, Hasan Ayyub, hlm. 434). Pandangan ini juga dipersetujui oleh Dr. Yusuf al-Qaradhawi kerana menurut penjelasan beliau; benda yang masuk melalui suntikan itu tidaklah masuk ke dalam badan melalui saluran terbuka dan ia juga tidak menafikan hikmah puasa iaitu berlapar dan menahan diri. (Lihat; 1000 Sualan wa Jawaban Lil-Mar-ah al-Muslimah, Mustafa Abu al-Ghait dan Islam Dirbalah, hlm. 100).
[4] Pandangan ini disokong Dr. al-Qaradhawi. (Lihat; 1000 Sualan wa Jawaban Lil-Mar-ah al-Muslimah, Mustafa Abu al-Ghait dan Islam Dirbalah, hlm. 99-100).
[5] Al-Muhalla, 4/304.
[6] Al-Muhalla, 4/306.

No comments for "Persoalan Puasa"